Sarawak Energy raih 23 pengiktirafan keselamatan pekerjaan pada Anugerah MSOSH 2025

Pejabat Wilayah Kuching menerima Grand Award pada Anugerah Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) ke-43. Pengiktirafan itu diterima bagi pihak Sarawak Energy oleh Effendy Syaiful bin Abdullah, Pengurus Besar Wilayah Barat.

Sarawak Energy mengukuhkan rekod kecemerlangannya dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan apabila meraih 23 anugerah pada Majlis Anugerah Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) 2025.

Pencapaian itu menzahirkan komitmen berterusan syarikat berkenaan dalam membudayakan amalan keselamatan yang kukuh serta berteraskan manusia di semua peringkat operasi.

Majlis anugerah tahunan yang bertemakan “Celebrating Achievements, Inspiring the Future” itu mengiktiraf organisasi yang melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) secara konsisten dan berkesan.

Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum menerima Grand Award pada Anugerah Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) ke-43. Anugerah itu diterima bagi pihak Sarawak Energy oleh Annevella Anak Matthew, Pengurus Stesen Empangan Hidroelektrik Murum.

Antara pencapaian utama tahun ini ialah penganugerahan Grand Award kepada Empangan Hidroelektrik (HEP) Murum dan Pejabat Wilayah Kuching, yang merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam Anugerah MSOSH.

Menurut Sarawak Energy dalam kenyataan pada Rabu (19 Nov), pengiktirafan itu mencerminkan amalan KKP cemerlang, pengurusan risiko secara proaktif serta komitmen padu terhadap budaya penambahbaikan berterusan.

Beberapa fasiliti lain milik syarikat itu turut menerima anugerah Gold Merit, Gold Class I dan Gold Class II, menunjukkan pematuhan standard KKP yang konsisten merentasi operasi penjanaan, transmisi dan pengagihan di seluruh Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan itu membuktikan iltizam bersama warga kerja syarikat untuk memastikan setiap kakitangan, kontraktor dan rakan kongsi beroperasi dalam persekitaran selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili

“Keselamatan ialah keutamaan kami dan menjadi asas cara kami bekerja. Ia melangkaui pematuhan dan mencerminkan tanggungjawab kami untuk melindungi warga kerja, rakan kongsi serta komuniti yang kami layani. Pengiktirafan ini turut mengangkat dedikasi pasukan Sarawak Energy dalam menjunjung nilai HSSE,” katanya.

Beliau menambah, syarikat terus memperkukuh budaya keselamatan melalui pengurusan risiko proaktif, integrasi teknologi serta inisiatif pembangunan keupayaan.

“Kami terus berinovasi melalui alat keselamatan, analitik ramalan serta program perkongsian ilmu untuk meningkatkan kesedaran dan akauntabiliti di setiap peringkat,” katanya.

Dalam tempoh setahun lalu, Sarawak Energy memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi meningkatkan keselamatan operasi dan kesejahteraan pekerja, termasuk sistem pelaporan insiden digital, program kepimpinan keselamatan dan kempen KKP bersama komuniti. Usaha itu menyumbang kepada pengurangan kadar insiden di tempat kerja serta memperkukuh pematuhan terhadap standard antarabangsa seperti ISO 45001.

Majlis Anugerah MSOSH ke-43 itu dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Haji Dzulkefly Ahmad, dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan serta pegawai kanan kerajaan lain.

Anugerah MSOSH dianjurkan setiap tahun bagi mengiktiraf organisasi yang menunjukkan prestasi konsisten dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui penilaian dokumentasi dan audit tapak oleh juru audit bertauliah MSOSH.

Sarawak Energy dalam kenyataannya berkata, syarikat terus menyelaraskan Polisi Alam Sekitar dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (EOSH) serta rangka kerja HSSE dengan amalan antarabangsa berteraskan disiplin operasi, akauntabiliti bersama dan penambahbaikan berterusan.