Sarawak perhebat agenda ekonomi karbon rendah, sasar pengurangan pelepasan 35 peratus menjelang 2050

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, YB Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh. Gambar: UKAS

Sarawak memperhebat usaha menuju ekonomi karbon rendah dengan menetapkan sasaran pengurangan pelepasan sebanyak 35 peratus menjelang 2050, selaras pelaksanaan Strategi Net Zero dan Pelan Karbon negeri.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata sasaran itu akan dicapai melalui langkah teras seperti elektrifikasi, pengoptimuman proses dan kecekapan penggunaan bahan, selain disokong pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, hidrogen serta teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

Beliau berkata, usaha ini bertujuan memastikan peralihan sektor pembuatan Sarawak ke arah pengeluaran karbon neutral sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi jangka panjang serta menarik pelaburan baharu berasaskan hijau.

“Langkah ini juga akan meletakkan Sarawak sebagai hab pelaburan hijau yang berupaya memacu industri baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching pada Isnin (1 Dis 2025).

Menurut beliau, PETROS bersama rakan industri kini sedang melaksanakan pelan induk Kuching Low Carbon Hub (KLCH) yang digerakkan berdasarkan pendekatan dipacu industri serta didorong permintaan pasaran sebenar.

Katanya, pendekatan itu memastikan pembangunan tenaga disepadukan dengan perancangan bandar yang lebih luas bagi menyokong kepelbagaian ekonomi, kelestarian dan daya tahan industri jangka panjang.

“Melalui usaha bersepadu ini, KLCH dijangka menjadi hab dinamik dan berhubung baik yang mampu menarik pelaburan baharu serta mengukuhkan hala tuju pembangunan Sarawak,” katanya.

Malcolm berkata, Sarawak Energy turut mempercepat pembangunan projek solar terapung di beberapa takungan hidro serta telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelabur dari China dan Timur Tengah.

“Selain itu, banyak cadangan diterima bagi pembangunan solar atas tanah oleh Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), dengan empat Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) sudah dimeterai bersama Sarawak Energy Berhad,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, SEDC Energy menerajui inisiatif hidrogen antarabangsa, mobiliti hijau dan pembuatan berteknologi tinggi, manakala PETROS pula memperkasa kedudukan Sarawak dalam agenda karbon rendah melalui pembangunan awal teknologi CCUS.