Sarawak menampilkan produk pelancongan berteraskan Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Festival (CANFF) sebagai tarikan utama kepada pasaran India sempena penyertaannya di Outbound Travel Mart (OTM) 2026, dengan fokus terhadap pengalaman imersif serta destinasi bertaraf dunia.
Penyertaan itu menyaksikan Sarawak Tourism Board (STB) memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi berasaskan alam semula jadi dan warisan, dengan penekanan kepada tarikan ikonik seperti Taman Negara Mulu, Tapak Warisan Dunia UNESCO, serta Taman Negara Niah, yang menjadi antara produk utama yang ditawarkan kepada pasaran India.

STB dalam kenyataan memaklumkan, selain pelancongan konvensional, Sarawak turut mempromosikan pelancongan pendidikan sebagai segmen niche bernilai tinggi bagi pasaran India menerusi misi kerjasama akademik, sejajar dengan permintaan pelancong yang semakin cenderung kepada pengalaman berasaskan pembelajaran dan pembangunan kemahiran.
Misi tersebut melibatkan kerjasama dengan Somaiya Vidyavihar University bersama UCSI University Sarawak Campus, yang bertujuan mewujudkan pertukaran fakulti dan pelajar serta penyelidikan bersama dalam bidang hospitaliti, pelancongan dan seni kulinari.
Penyertaan Sarawak di OTM 2026 turut disertai kepimpinan tertinggi negeri, dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tampil sebagai ahli panel dalam sesi perasmian OTM 2026, manakala Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Haji Salleh Askor, menyertai sesi forum industri bagi berkongsi pandangan mengenai kesediaan destinasi dan strategi pembangunan produk Sarawak.
India dikenal pasti sebagai pasaran pertumbuhan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan sasaran nasional 2 juta ketibaan pelawat dari negara itu.
Peningkatan minat pasaran, termasuk lonjakan permintaan dari India, membuka peluang kepada Sarawak untuk menyumbang kepada sasaran tersebut menerusi pertumbuhan pelancongan yang berkualiti dan mampan.
Sebelum pembukaan rasmi OTM 2026, delegasi Sarawak turut mengadakan lawatan diplomatik ke Consulate General of Malaysia in Mumbai bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan keterlihatan Sarawak sebagai gerbang pelancongan berteraskan alam semula jadi Malaysia ke Borneo.
OTM 2026 yang berlangsung pada 5, 6 dan 7 Feb 2026, menjadi platform strategik untuk memperluas akses pasaran, mengukuhkan hubungan perdagangan serta memacu kesedaran destinasi Sarawak di India, selari dengan persiapan Malaysia menyambut pelawat antarabangsa pada tahun 2026.