Sarawak bakal mencatat satu pencapaian bersejarah menjelang tahun 2026 apabila mengumumkan kejayaan meraih pengiktirafan Guinness World Records (GWR) menerusi satu perjalanan istimewa yang merentasi mercu tanda utama negeri ini.
Menurut kenyataan media Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), pengumuman rasmi pencapaian Guinness World Records itu akan dibuat sempena sambutan Countdown 2026 di Tebingan Kuching pada 31 Disember 2025, sekali gus meletakkan Sarawak di pentas global ketika negeri ini bersiap sedia menyambut Visit Malaysia Year 2026.
Kenyataan itu memaklumkan, perjalanan yang mencipta rekod dunia berkenaan merentasi landskap Sarawak dari Tanjung Datu hingga ke Lawas, melambangkan skala, keterhubungan serta aspirasi negeri ini, di samping mengukuhkan penjenamaan Sarawak sebagai Pintu Gerbang ke Borneo.
Guinness World Records yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai badan berautoriti dalam pengesahan pencapaian rekod dunia, menyediakan pengesahan bebas dan kredibiliti global terhadap pencapaian tersebut, sekali gus meletakkan Sarawak dalam kalangan komuniti pemegang rekod dunia antarabangsa.
STB berkata, kejayaan itu bukan sahaja mengangkat kedudukan antarabangsa Sarawak, malah menjadi simbol kebanggaan bersama rakyat negeri ini, selain mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak untuk tampil dengan idea berani dan inovatif menjelang 2026.
Dalam kenyataan itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pencapaian berkenaan melangkaui sekadar mencipta rekod dunia.
“Pencapaian ini mencerminkan kesiapsiagaan Sarawak untuk tampil memimpin dengan idea berani, inovasi dan keyakinan ketika melangkah ke tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata, pengumuman pencapaian Guinness World Records pada malam ambang tahun baharu turut menjadi isyarat jelas momentum yang sedang dibina Sarawak dalam usaha menyambut kehadiran pelancong global.
Menurut STB, sambutan Countdown 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak akan menampilkan barisan persembahan tempatan, kebangsaan dan antarabangsa, sebelum kemuncak pertunjukan bunga api muzik tepat tengah malam.
STB turut memaklumkan, pencapaian Guinness World Records itu menjadi satu mercu tanda penting dalam perjalanan pembangunan pelancongan Sarawak, sekali gus menunjukkan bagaimana inovasi, penceritaan dan skala digabungkan bagi membentuk naratif global yang berteraskan identiti Sarawak sebagai Pintu Gerbang ke Borneo.