Pelakon ternama Hong Kong, Simon Yam, bakal menjadi tumpuan utama apabila dijadualkan bertemu peminat dan menikmati pelayaran santai menyusuri Sungai Sarawak pada 15 November ini, sempena Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 di Kuching.
Pelakon legenda yang cukup dikenali menerusi filem-filem seperti Election, PTU, Dr. Lamb dan Lara Croft: Tomb Raider – The Cradle of Life ini sudah lebih empat dekad mewarnai dunia perfileman Asia, dengan lakonan yang meninggalkan kesan mendalam di hati peminat. Dari watak hero berkarisma hinggalah penjahat berwajah dingin, Simon Yam sememangnya simbol versatiliti bintang Hong Kong sejati.

Menurut pihak AIFFA, edisi ketujuh festival filem berprestij rantau ini bakal berlangsung dari 12 hingga 15 November, menghimpunkan lebih 300 penggiat industri dari seluruh ASEAN bagi meraikan karya dan bakat terbaik dunia sinema serantau.
Tahun ini mencatat rekod baharu dengan 200 penyertaan filem, jumlah tertinggi dalam sejarah AIFFA — dengan Malaysia mendahului sebanyak 90 filem.
Festival yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk tayangan filem, pameran, sesi bual santai bersama penggiat industri, serta pertandingan ASEAN UNIFEST bertemakan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Selain Simon Yam, pengarah tersohor Filipina Lav Diaz turut mengesahkan kehadiran. Acara kemuncak, Malam Gala AIFFA di Colosseum, Pullman Hotel, bakal diserikan persembahan bertenaga daripada Ruth Sahanaya, Dato’ M. Nasir, Vince Chong dan Mimifly, serta disiarkan secara langsung di TVS.
Dengan kehadiran bintang-bintang ternama dan suasana meriah di tebing Sungai Sarawak, Kuching dijangka sekali lagi menjadi pusat perhatian dunia — menampilkan pesona, glamor dan semangat sinema ASEAN yang semakin bersinar di pentas global.