Tak semua wira perlu jubah. Kadang-kadang, wira itu cuma orang biasa yang sanggup turun tangan bila ramai hanya tahu mengeluh.
Itulah yang dilakukan oleh content creator tempatan, Tracey E. Hughes, apabila beliau bersama suaminya mula mengutip sampah di sepanjang Jalan Pan Borneo, sekitar Bau, sejak 7 Oktober 2025.
Berbekalkan sarung tangan, beg sampah dan rasa tanggungjawab, pasangan ini memulakan langkah kecil untuk menjaga kebersihan di kawasan perhentian bas dan P-turn — lokasi yang sering dipenuhi sisa buangan pengguna jalan raya.
Dari rungutan ke tindakan
Dalam hantaran Facebook pertamanya, Tracey meluahkan rasa kecewa melihat setiap hentian bas dipenuhi sampah — dari plastik hingga botol minuman.
“Hampir setiap bus stand & P-turn penuh sampah. Susah sangat ka simpan sampai jumpa tong sampah? Kita sama-sama jaga tanah kita, bukan tambah kotor,” tulisnya, disertai hashtag #SayNoToCeridakDoo — sindiran sinis terhadap mereka yang tidak beretika.
Namun, Tracey bukan sekadar menulis. Keesokannya, dia kembali ke lokasi yang sama bersama suaminya untuk mengutip semua sampah di sekitar hentian bas itu.
Melalui video yang dimuat naik, pasangan itu kelihatan tekun mengutip sisa buangan dengan senyuman — bukti bahawa perubahan boleh bermula dengan tindakan kecil.
Lahirlah gerakan #CleanUpPanBorneo
Pada 8 Oktober, Tracey kembali ke Facebook dengan satu mesej baru — kali ini mengajak orang ramai turut serta.
“Harap-harap ada yang inspired by this movement dan sama-sama kita bertindak untuk mencantikkan kembali jalan Pan Borneo kita. Please use the hashtag #CleanUpPanBorneo — it starts with us, let’s do this,” katanya.
Hashtag itu menjadi titik permulaan kempen komuniti hijau yang mengajak orang ramai menjaga kebersihan laluan utama negeri ini — Pan Borneo — yang menjadi nadi penghubung antara bandar dan kampung.
Menariknya, kempen kecil yang bermula di Bau itu kini mula menggerakkan tindakan orang lain, termasuk di Saratok, apabila beberapa pengguna media sosial turut berkongsi video dan gambar mereka mengutip sampah di tepi jalan sambil menggunakan tanda pagar yang sama, #CleanUpPanBorneo.

Inspirasi dari jalan raya
Melalui gabungan media sosial dan tindakan nyata, Tracey membuktikan bahawa inspirasi boleh datang daripada mana-mana — termasuk dari tepi jalan.
“Kalau bukan kita, siapa lagi? Tanah ini tempat kita hidup — jangan biar jadi tempat buang sampah,” tulisnya dalam salah satu hantaran.
#CleanUpPanBorneo kini bukan sekadar hashtag — ia simbol gerakan kecil rakyat Sarawak yang sayangkan negeri mereka, dan percaya bahawa perubahan bermula daripada tindakan sendiri.