Di alam semula jadi, serigala terkenal dengan keupayaan memburu secara berkumpulan. Kekuatan mereka bukan terletak pada dominasi individu semata-mata, tetapi pada koordinasi, kesabaran dan naluri memahami masa yang tepat untuk bertindak.
Nilai yang sama, dalam bentuk berbeza, menjadi pegangan pengasas Turbowolf Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan tenaga berpangkalan di Sarawak yang dibina berasaskan semangat kerja berpasukan dan keyakinan bersama.
Nama Turbowolf sendiri mencerminkan falsafah itu, menggabungkan kelajuan dan prestasi seperti turbin dengan disiplin tersusun sekumpulan serigala yang bergerak sebagai satu pasukan.
Segalanya bermula sedekad lalu apabila empat anak muda berusia sekitar 20-an, yang terikat dengan persahabatan dan latar belakang teknikal, mengambil keputusan meninggalkan kerjaya yang stabil demi membina syarikat sendiri.
Di sebalik keputusan itu ialah Terence Baru Meechang, anak Lun Bawang dari Long Semadoh, Lawas. Apa yang pada mulanya sekadar perbualan santai sesama rakan sekerja akhirnya membawa kepada satu kesedaran yang mengubah hidup mereka.
Beliau bertanya kepada rakan-rakannya, berapa banyak masa yang sebenarnya mereka luangkan bersama ibu bapa. Bagi mereka yang masih muda, jawapannya cukup menyedihkan.
“Saya mengira bahawa sepanjang hidup saya, saya hanya sempat bersama ibu bapa kurang daripada enam tahun. Ketika berusia 28 tahun, perkara itu benar-benar menyedarkan saya. Kami memperoleh pendapatan yang lumayan, tetapi kami sebenarnya tiada kehidupan,” kata Terence.
Kesedaran itu mengubah hala tuju mereka. Tidak lama kemudian, mereka meninggalkan Schlumberger dan beberapa syarikat besar lain untuk menceburi industri yang penuh ketidaktentuan dan tanpa jaminan pulangan.

Pada 2016, Turbowolf Resources Sdn Bhd diperbadankan di Bintulu sebagai penyedia perkhidmatan khusus dalam intervensi telaga dan wireline. Tahun-tahun awal syarikat itu boleh dirumuskan dengan satu perkataan sahaja — kelangsungan hidup.
Mereka berdepan kemelesetan industri, pandemik COVID-19, ketidaktentuan politik serta pelbagai gangguan global.
Bagi sebuah syarikat kecil yang sedang mencari tempat dalam rantaian nilai minyak dan gas, matlamat utama ketika itu bukanlah pertumbuhan, sebaliknya kemampuan untuk terus bertahan. Turbowolf belajar menyesuaikan diri secara beransur-ansur dalam landskap industri yang sentiasa berubah.
Tempoh mencabar itu turut membuka mata mereka bahawa kekurangan pengalaman datang dengan harga yang mahal. Seperti banyak syarikat baharu lain, Turbowolf belajar melalui pengalaman sebenar, bukan teori.
Modal syarikat susut dengan pantas apabila mereka berdepan cabaran operasi, tekanan komersial serta kerumitan rantaian bekalan industri minyak dan gas.
“Ketika itu kami seperti ayam kehilangan kepala. Kami kerugian begitu banyak kerana langsung tidak tahu bagaimana hendak menguruskan perniagaan. Ia benar-benar satu pengajaran yang sangat mahal, tetapi kami bersyukur kerana tiada perunding yang mampu mengajar apa yang kami pelajari melalui pengalaman itu,” imbas Terence.
Pada tempoh awal yang sukar itu juga, penyertaan Turbowolf dalam sesi libat urus vendor anjuran PETRONAS di Bintulu menjadi titik perubahan penting apabila membuka laluan kepada ekosistem huluan serta peluang mempamerkan keupayaan syarikat.
Perubahan itu tidak berlaku serta-merta, namun ia memberi akses yang semakin luas kepada ekosistem huluan dan peluang membuktikan kemampuan dalam persekitaran operasi yang mematuhi piawaian kebangsaan.
Namun, pencapaian paling bermakna bagi syarikat itu bukan sekadar kontrak yang dimenangi atau pasaran yang diterokai, tetapi hakikat bahawa empat pengasas asalnya masih kekal bersama sehingga hari ini.
Di habitat liar, sekumpulan serigala mampu bertahan bukan kerana setiap ahlinya menjadi ketua, tetapi kerana masing-masing memahami peranan dan kekal komited kepada matlamat bersama.
Selepas sedekad, prinsip yang sama terus menjadi pegangan Turbowolf. Walaupun syarikat itu kini beroperasi dari Miri dan berkembang jauh daripada permulaannya yang sederhana, individu yang mengasaskannya masih bergerak bersama.

Daripada sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada intervensi telaga dan perkhidmatan wireline, Turbowolf kini berkembang menjadi syarikat perkhidmatan tenaga dengan pelbagai bahagian perniagaan dan jejak strategik yang lebih luas.
Hari ini, syarikat itu beroperasi menerusi empat teras utama iaitu pembangunan tenaga, pengurusan aset, teknologi bersih dan perdagangan.
Setiap langkah pengembangan dibuat berdasarkan penilaian teliti terhadap hala tuju industri, dengan matlamat mendahului permintaan pasaran, bukannya sekadar bertindak balas terhadap perubahan.
Walaupun mengekalkan profil yang sederhana dalam industri yang dikuasai pemain lama, Turbowolf terus aktif mencari peluang baharu. Syarikat itu konsisten menjalinkan hubungan dengan bakal rakan strategik dan meneruskan perbincangan sehingga peluang kerjasama terbuka.

Pada masa sama, Turbowolf turut membangunkan portfolio teknologi bersih yang mula diterokai sejak 2017.
Usaha itu merangkumi kerjasama penyelidikan dengan universiti serta pembangunan teknologi berkaitan sistem air dan tenaga, penangkapan karbon dan bahan api hijau.
Sebahagian projek telah berkembang menjadi aplikasi komersial dan kontrak jangka panjang, manakala sebahagian lagi masih dalam pembangunan atau dihentikan selepas dinilai dari segi kebolehlaksanaan teknikal dan kesediaan pasaran.
Selain operasi dan penyelidikan, syarikat itu turut memperluaskan kehadiran di peringkat antarabangsa dengan penglibatan yang semakin meningkat di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Kini, Turbowolf sedang menyusun strategi jangka panjang untuk mengembangkan operasi di peringkat serantau dan memilih pasaran global secara strategik, disokong model operasi yang cekap serta pelaksanaan berasaskan teknologi.
Portfolio projek syarikat mencerminkan keseimbangan antara mengekalkan prestasi kukuh dalam perkhidmatan medan minyak konvensional dan membangunkan keupayaan dalam teknologi tenaga masa depan.
“Kami juga memberi tumpuan serius kepada aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG). Malah, saya berbangga berkongsi bahawa Turbowolf kini memperoleh pensijilan pada peringkat pertengahan dalam bidang ini dan ini hanyalah permulaan.
“Kami akan terus meningkatkan standard kami,” kata Terence yang juga Pengarah Urusan Turbowolf serta mengetuai kumpulan pengasas syarikat itu.

Terence, yang pernah menjalani latihan industri di sebuah anak syarikat PETRONAS di Bintulu, mengakui sokongan yang diberikan syarikat petroleum nasional itu kepada vendor Sarawak banyak membantu perkembangan syarikat tempatan.
Pengiktirafan itu turut tercermin dalam perjalanan Turbowolf dalam ekosistem industri yang disertainya hari ini.
“Kami berbesar hati berkongsi bahawa Turbowolf Resources kini mempunyai kontrak yang sedang berjalan dengan PETRONAS. Hubungan ini merupakan satu pencapaian penting buat kami. Ia membuktikan keupayaan, standard dan komitmen kami dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Turbowolf akan terus meneroka lebih banyak peluang bersama pemain industri lain bagi mengembangkan lagi kehadirannya dalam sektor tenaga.
Jika lima tahun lalu nama Turbowolf hampir tidak dikenali di luar lingkungan terdekatnya, hari ini syarikat itu semakin mendapat perhatian dan mula mengukuhkan kedudukannya dalam landskap industri tenaga.
