Vandalisme dan cubaan mencuri aset elektrik di kawasan Matang (Kuching) telah mengakibatkan kerosakan dianggarkan bernilai RM396,000 serta menjejaskan bekalan elektrik kepada beberapa komuniti sepanjang enam bulan lalu.
Syarikat SESCO Berhad (SESCO), cabang operasi dan peruncitan Sarawak Energy, menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran infrastruktur elektrik.
Menurut Sarawak Energy Berhad dalam kenyataan hari ini (31 Julai), sebanyak 11 kes direkodkan di kawasan Matang dari Januari hingga Jun 2026.
“Ini melibatkan cubaan mencuri komponen tembaga daripada transformer elektrik dan peralatan berkaitan.
“Aset elektrik yang terjejas membekalkan tenaga kepada komuniti di sekitar Matang termasuk Sri Kandong, Kampung Jaya Bakti, Kampung Rayu dan kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan kenyataan itu.
Dalam satu kejadian di Kampung Rayu pada 28 Jun 2026, bekalan elektrik di kawasan terlibat terputus selama kira-kira sembilan jam kerana transformer yang rosak terpaksa diganti sebelum bekalan dapat dipulihkan dengan selamat.
Dalam kenyataan yang sama, Pengurus Besar SESCO Wilayah Barat, Effendy Syaiful Abdullah, berkata kejadian vandalisme dan cubaan mencuri aset elektrik yang semakin meningkat di Matang merupakan isu serius kerana ia boleh mengganggu bekalan elektrik kepada seluruh komuniti, menjejaskan aktiviti harian serta membahayakan nyawa.
Beliau berkata, Sarawak Energy memandang serius perbuatan itu kerana ia bukan sahaja menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik, malah membahayakan orang awam termasuk individu yang terlibat dalam vandalisme atau cubaan mencuri aset tersebut.
“Peralatan elektrik yang rosak mungkin masih mempunyai arus elektrik dan boleh menyebabkan kecederaan serius atau renjatan elektrik.
“Kami mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri, menyentuh atau cuba memeriksa mana-mana pemasangan elektrik yang rosak,” katanya.
Sarawak Energy turut menggesa semua pengusaha pusat kitar semula dan pembeli besi buruk supaya menjalankan pemeriksaan sewajarnya serta mengelakkan pembelian logam yang mencurigakan kerana ia mungkin merupakan komponen transformer SESCO yang dicuri.
Kerjasama mereka penting bagi membantu mencegah kecurian dan melindungi infrastruktur bekalan elektrik yang kritikal.
Sarawak Energy juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta pihak polis bagi menangani isu tersebut melalui operasi bersama, termasuk pemeriksaan di pusat kitar semula dan pemantauan aktiviti berkaitan kabel tembaga yang dipercayai dicuri.
Orang ramai digalakkan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran pencawang, transformer, tiang, kabel atau mana-mana pemasangan elektrik milik SESCO kepada pihak polis atau Pusat Khidmat Pelanggan Sarawak Energy yang beroperasi 24 jam.
“Semua maklumat yang diterima akan dirahsiakan,” katanya kenyataan itu.
