Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran besar yang memusnahkan 30 buah rumah di Seberang Pekan Sangan, Tatau, lewat malam Khamis.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 malam.
Mayat mangsa yang berusia 22 tahun ditemui di lokasi kebakaran pada jam 2.36 pagi, dalam kebakaran yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sangan Iban itu.
Menurut kenyataan itu, lokasi kejadian yang berada di seberang sungai tanpa akses jalan raya menyukarkan operasi, memaksa anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau memindahkan peralatan pemadaman menggunakan perahu penduduk kampung bagi menyeberang ke kawasan kebakaran.
“Operasi pemadaman dijalankan dengan membentang satu aliran sepanjang 400 kaki, menggunakan satu dividing breeching dan dua nozel daripada pam angkut GP10/10 dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” menurut kenyataan tersebut.
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan menyelamatkan sebuah rumah serta bangunan sekolah.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Seramai 97 mangsa daripada 23 keluarga terjejas dalam kejadian itu, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
Operasi diketuai Komander Operasi, PBT II Herudin Ealhi, dengan kekuatan tujuh anggota bomba menggunakan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Turut berada di lokasi ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Tatau serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).