Polis menahan 59 individu dalam Ops Tapis Khas Narkotik yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dari 6 hingga 14 Disember 2025 bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, berkata operasi itu membawa kepada penahanan dua individu di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sembilan individu di bawah Seksyen 12(2) akta sama serta 48 individu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai jenis dadah dengan jumlah keseluruhan 23.84 gram methamphetamine dan 0.90 gram pil Erimin 5, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,682.40.
“Operasi ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin (15 Disember 2025).
Beliau menegaskan bahawa memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang, selain menegaskan komitmen Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.