70 individu ditahan dalam Ops Tapis Khas Narkotik di Kuching

Photo ilustrasi janaan AI

Seramai 70 individu ditahan menerusi Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 13 hingga 20 Oktober 2025 bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata daripada jumlah itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, 64 individu di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama, manakala seorang individu telah dituduh mengikut Seksyen 39C akta berkenaan.

“Beberapa jenis dadah turut dirampas dalam operasi berkenaan iaitu sebanyak 1.89 gram methamphetamine, 0.54 gram ketamin dan 0.50 gram Erimin 5dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM369.40,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (21 Okt).

Beliau berkata semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuching dan didakwa mengikut kesalahan masing-masing.

Menurutnya, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam, selain menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Alexson turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN Bukit Aman (012-208 7222) atau Hotline JSJN IPK Sarawak (017-592 9211).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *