Polis rampas lebih 6 kg dadah di Miri, semua barang rampasan dianggar bernilai RM509,525

Ketua Polis Daerah Miri menunjukkan dadah yang dirampas. [Gambar IPD Miri]

Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di daerah Miri dengan rampasan pelbagai jenis dadah lebih 6 kilogram yang dianggarkan untuk kegunaan 14,131 orang penagih.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata rampasan itu dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah bilik sewa di kawasan Riam, Miri pada 19 Oktober lalu kira-kira jam 8.20 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Dalam operasi itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki syabu (409 gram), ketamin (1,029 gram), ekstasi (3,342 gram), erimin 5 (1,986 gram) dan cecair ganja (15 ml), katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial rasmi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri pada Isnin (27 Okt).

Menurut beliau, polis turut menyita wang tunai sebanyak RM2,800 dan sebuah kereta, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM509,525.

Siasatan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau, manakala kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal dadah yang memperoleh bekalan daripada ahli sindiket.

Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari mulai 20 hingga 27 Oktober 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika disabit kesalahan.

ACP Mohd Farhan berkata, polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan saki-baki sindiket yang terlibat dan menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN 012-2087222 atau Hotline JSJN Sarawak 017-5929211.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *