Lelaki positif dadah ditahan polis selepas cuba melarikan diri

Photo ilustrasi janaan AI

Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mempunyai enam rekod jenayah lampau selepas cuba melarikan diri ketika rondaan cegah jenayah di Jalan Tawi Sli, Kuching pada Rabu (29 Okt).

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Anak Chabu berkata, kereta yang dinaiki suspek enggan berhenti apabila diarahkan untuk diperiksa sebelum berjaya dipintas di Jalan Batu Kawa.

“Suspek yang berjaya ditangkap berumur lingkungan 26 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah. Hasil saringan awal ujian air kencing ke atas suspek yang ditahan didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (30 Okt).

Beliau berkata, seorang lagi rakan suspek yang melarikan diri bersama kenderaan tersebut masih diburu polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Alexson turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Nancy Nawi di talian 019-2320381.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *