Polis menahan sembilan individu disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan di sebuah rumah di Goodwill Garden, Jalan Sepupok, Batu Niah, Miri pada 27 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.48 pagi apabila sekumpulan suspek dipercayai memecah masuk pintu hadapan rumah mangsa ketika mangsa berada di dalam kediaman.
Menurutnya, suspek kemudian memasuki rumah berkenaan dan melarikan pelbagai barangan berharga milik pengadu, termasuk dua telefon bimbit, sebuah tablet serta dua cincin emas.
“Bertindak atas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri melaksanakan Op Casa dan berjaya menahan lima suspek dalam tempoh kurang 24 jam.
“Susulan itu, tangkapan lanjut dijalankan sehingga membawa kepada penahanan keseluruhan sembilan suspek sepanjang operasi mengesan dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (4 April).
Beliau berkata, dalam operasi itu pihak polis turut merampas satu telefon bimbit dan dua cincin emas yang dipercayai milik mangsa bagi membantu siasatan.
Katanya, semua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 17 hingga 48 tahun kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.