Pelbagai kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal dan penggunaan ekzos bising dikesan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata operasi bermula jam 11 malam (4 Apr) hingga 3.30 pagi (5 Apr) itu menyaksikan sebanyak 30 keping saman dikeluarkan terhadap pesalah trafik yang ditahan dalam operasi berkenaan.
“Sepanjang operasi, seramai 30 lelaki dan lima perempuan diperiksa bersama 30 motosikal.
“Pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan, antaranya menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, ubah suai ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ serta lain-lain kesalahan teknikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 10 motosikal disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Menurutnya operasi itu tertumpu di sekitar Jalan Piasau, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Tanjung Lobang dan Jalan Bekenu.
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan orang awam berhubung aktiviti motosikal yang mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Mohd Farhan menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri bagi tindakan lanjut,” katanya.
