Seramai 16 warga asing ditahan dalam satu operasi khas Ops Serkap yang dijalankan Pasukan Tindakan Khas (PTK), Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak di kawasan sempadan Biawak pada Khamis (2 April).
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia, Sarawak dalam satu hantaran di Facebook rasminya, semua yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dan empat wanita, disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Seramai sembilan anggota PTK digerakkan dalam operasi berkenaan dengan menggunakan satu kenderaan rasmi jabatan dan empat kenderaan persendirian.
“Semasa operasi dijalankan, pasukan telah mengesan dua buah kenderaan yang dipercayai memuatkan migran dari kawasan hutan sebelum bergerak keluar menuju ke jalan utama Biawak, Lundu,” menurut hantaran itu.
Pasukan bertindak mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum berjaya menahan dan memeriksa di tepi jalan berhampiran Lorong Opek 8, Jalan Biawak.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa untuk tindakan lanjut.
“Turut disita dalam operasi ini adalah dua kenderaan yang digunakan dalam aktiviti tersebut,” menurut hantaran itu lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM serta Seksyen 5(1), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di negeri ini,” kata kenyataan itu.
