Sebanyak enam laluan baharu BAS.MY Kuching mula beroperasi sejak 1 April lalu bagi meningkatkan liputan perkhidmatan pengangkutan awam di Kuching dan kawasan sekitarnya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penambahan laluan itu dilaksanakan selepas kerajaan menerima maklum balas dan permohonan berkaitan keperluan perkhidmatan bas awam di bandar raya Kuching.

Menurut beliau, laluan baharu berkenaan melibatkan:
- Q11 : Arang Road;
- Q12 : Taman Hui Sing;
- Q13 : Siburan;
- Q14 : Summer Mall;
- Q15 : Stutong Baru/Kuching Sentral; dan
- Q16 : Taman Sukma.
“Pelancaran laluan-laluan baharu ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan liputan perkhidmatan bas, malah memastikan rakyat mendapat akses kepada pengangkutan yang lebih cekap, selesa dan boleh dipercayai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Laluan Baharu BAS.MY di Summer Mall, Kota Samarahan pada Sabtu (9 Mei 2026).
Loke berkata, laluan baharu itu turut direka dengan mengambil kira keperluan rakyat setempat termasuk menghubungkan kawasan perumahan, pusat komersial, institusi pendidikan dan kemudahan awam utama.
Katanya, langkah itu diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon.
Menurut beliau, sehingga April 2026, BAS.MY Kuching merekodkan seramai 847,644 penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut.
