Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 4 di Sarawak pada 11 hingga 12 Mei ini sebagai langkah proaktif meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama negeri ini.
MET Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan operasi itu akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Bakun, Batang Ai dan Murum yang menjadi sumber penting bekalan air serta penjanaan tenaga hidroelektrik di Sarawak.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan operasi berkenaan melibatkan kerjasama strategik beberapa agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak serta Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
“OPA akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang teliti oleh MET Malaysia dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera serta corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi.
“Kawasan sasaran dipilih berdasarkan kehadiran awan yang berpotensi untuk proses pembenihan,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi agensi itu.