Aidil Sharin kekal di Kuching City FC hingga 2029

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak. Gambar Kuching City FC

Kuching City FC memberi isyarat jelas bahawa mereka serius mahu muncul sebagai pencabar utama bola sepak negara apabila mengekalkan Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih sehingga 2029.

Pengumuman sambungan kontrak selama tiga tahun itu dilihat sebagai langkah besar kelab dalam memastikan kesinambungan projek pembangunan pasukan The Cats terus berada di landasan tepat.

Pengerusi Kuching City FC, YB Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihak pengurusan meletakkan keyakinan penuh terhadap kepimpinan, dedikasi dan visi jangka panjang Aidil dalam membawa pasukan terus berkembang di peringkat tertinggi bola sepak Malaysia serta Asia.

Sejak mengambil alih pasukan, Aidil dilihat berjaya membentuk identiti permainan Kuching City FC selain meniup semangat baharu dalam kalangan pemain dan penyokong.

Malah, sentuhan jurulatih dari Singapura itu turut membantu Kuching City FC mencipta beberapa pencapaian membanggakan sehingga menjadikan pasukan itu semakin digeruni dalam saingan Liga Malaysia.

“Kesinambungan ini diyakini mampu memberikan kestabilan dan momentum positif dalam usaha membina masa depan lebih gemilang buat pasukan serta seluruh penyokong Kuching City FC,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (28 Mei 2026).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong, penaja dan rakan strategik yang terus berdiri teguh bersama perjalanan pasukan tersebut.

“Bersama kita terus melangkah lebih jauh,” katanya.