Tourism Malaysia meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching menerusi sambutan khas Hari Gawai sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) pada Isnin (1 Jun).
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada siri sambutan yang turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Terminal 1) pada 30 Mei lalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) semalam.
Majlis sambutan di Kuching dihadiri Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah; Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusof; Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Ir. Jun Iskandar Murshidi; Pengurus Stesen Batik Air Kuching, Marilyn Roberta Jeffery; serta wakil agensi kerajaan dan syarikat penerbangan.

Menurut Tourism Malaysia, program itu mengetengahkan keunikan budaya dan tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada kepelbagaian budaya Malaysia yang menjadi tarikan utama pelancongan negara selaras dengan VM2026.
Para pelawat yang tiba di balai ketibaan disambut dengan cenderamata istimewa serta juadah kuih-muih tradisional Hari Gawai sebagai simbol hospitaliti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya.
“Program ini direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Kraftangan Malaysia dan Batik Air dalam usaha memperkukuh pengalaman ketibaan pelawat ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Tourism Malaysia turut memaklumkan bahawa sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, program Mega Familiarisation (Mega Fam) dilaksanakan melibatkan 15 wakil media dan pempengaruh dari rantau Asia Tenggara, Asia Timur serta Asia Selatan.
Program selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun itu melibatkan peserta dari Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India bagi mengetengahkan keunikan budaya serta warisan perayaan di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan itu, sehingga Mac 2026, Malaysia merekodkan 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 5.4 peratus berbanding 10.1 juta ketibaan yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu mencerminkan momentum positif sektor pelancongan negara sempena pelaksanaan VM2026.
Tourism Malaysia berkata, sambutan berteraskan budaya seperti itu akan terus memperkukuh profil pelancongan negara di peringkat antarabangsa sambil meraikan kepelbagaian warisan budaya Malaysia selaras dengan aspirasi VM2026 dan pembangunan mampan industri pelancongan negara.