Wanita disiasat selepas mengaku buat laporan samun palsu di Miri

Seorang wanita tempatan berusia 29 tahun disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan selepas mengaku membuat laporan polis palsu berhubung kejadian samun bersenjata yang didakwa berlaku di Pujut, di sini.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata wanita itu membuat laporan polis pada jam 1.58 pagi, 28 Mei lalu, mendakwa dirinya disamun empat lelaki yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurut laporan itu, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 10 malam, 27 Mei lalu, di tepi jalan berhadapan Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut, ketika pengadu berhenti di kawasan berkenaan.

Pengadu mendakwa seorang daripada suspek mengacukan pistol ke arah perutnya sebelum melarikan seutas rantai leher emas, sebentuk cincin emas, seutas gelang emas serta wang tunai RM350.

“Beliau menganggarkan kerugian keseluruhan berjumlah RM3,130,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Farhan berkata, kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan komprehensif dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Hasil siasatan mendapati terdapat banyak kelompongan maklumat kejadian yang diberikan oleh pengadu sepanjang proses siasatan dijalankan.

“BSJ IPD Miri kemudian menjalankan risikan mendalam dan berjaya memperoleh bukti menunjukkan kejadian samun yang dilaporkan itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Menurut beliau, hasil bukti yang diperoleh menyebabkan pengadu mengakui laporan polis yang dibuat adalah tidak benar.

Katanya, semua barang kemas dan wang tunai yang didakwa disamun turut ditemukan dalam simpanan pengadu sendiri.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai penyiasat kes berkenaan berhubung kesalahan memberi maklumat atau laporan palsu kepada penjawat awam.

“Pengadu kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dipenjara atau didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Farhan turut menegaskan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu untuk kepentingan atau keuntungan diri sendiri kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan serius