Manuskrip Jawi 179 halaman jadi sumber primer sejarah Sultan Tengah

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan manuskrip Jawi klasik dipercayai tulisan Sultan Tengah.

Penemuan sebuah manuskrip Jawi klasik yang dipercayai ditulis sendiri oleh Sultan Tengah disifatkan sebagai penemuan penting yang mampu membuka lembaran baharu dalam kajian sejarah Sarawak.

Manuskrip berjudul Pengembaraan Sri Sultan dan Sultan Tengah ke Sebuah Gunung itu diumumkan oleh Jabatan Muzium Sarawak (JMS) sempena Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bilangan 1/2026 yang dipengerusikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut JMS, manuskrip berkenaan ditulis oleh Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Ali Omar Shah Ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan, tokoh penting dalam sejarah Sarawak yang ditabalkan sebagai Sultan Sarawak pada tahun 1599.

Kajian lanjut terhadap manuskrip itu dijalankan pada 2021 oleh pasukan penyelidik JMS dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak sebelum keseluruhan kandungan manuskrip setebal 179 halaman berjaya ditransliterasikan pada 2022. Proses tersebut turut dibantu penyelidik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) serta disahkan oleh pakar manuskrip dari UiTM Sarawak.

Ketika ini, penyelidik JMS dan UiTM Sarawak sedang menjalankan analisis kandungan terhadap manuskrip yang telah ditransliterasikan sepenuhnya itu.

Menurut JMS, manuskrip berkenaan menceritakan pengalaman serta pelbagai peristiwa yang dilalui sendiri oleh Sultan Tengah bersama individu di sekeliling baginda pada zaman tersebut.

Antara ciri utama manuskrip itu ialah ia mengandungi 179 halaman, ditulis dalam tulisan Jawi klasik abad ke-16 serta menggunakan laras bahasa istana Brunei Lama. Manuskrip berkenaan berukuran 23.4 sentimeter tinggi, 19 sentimeter lebar dan 4.2 sentimeter tebal dengan setiap halaman mengandungi 17 baris teks.

JMS turut memaklumkan bahawa bukti manuskrip itu ditulis sendiri oleh Sultan Tengah dapat dilihat pada frasa terakhir halaman ke-179 yang berbunyi, “Pangeran Tangah yang empunya chatera ini adanya”.

Menurut jabatan itu, penemuan manuskrip berkenaan mempunyai nilai besar dari sudut sejarah kerana menjadi sumber primer penting dalam usaha membina semula historiografi dan biografi Sultan Tengah. Selain itu, ia membuka ruang penyelidikan lebih mendalam mengenai falsafah, pemikiran dan legitimasi pemerintahan baginda.

Dari sudut filologi pula, manuskrip itu berpotensi memperkaya kajian berkaitan gaya bahasa, teknik penulisan dan simbolisme dalam teks klasik Melayu.

JMS juga berpandangan penemuan berkenaan berupaya menarik minat penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan kajian lanjut mengenai sejarah Sultan Tengah serta bidang manuskrip di Sarawak.

Sehubungan itu, JMS merancang mewartakan manuskrip tersebut di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 dan seterusnya mencalonkannya untuk pengiktirafan Program Memory of the World UNESCO.

(Ditulis pada 12 Jun 2026)