Projek pemprosesan baja organik menggunakan kaedah Black Soldier Fly (BSF) yang dilaksanakan di Dalat bukan sahaja membantu menangani masalah lambakan ‘teparok’ (bahasa Melanau Dalat) atau keladi bunting di Batang Oya, malah membuka sumber ekonomi baharu kepada penduduk setempat menerusi pendekatan ekonomi kitaran dan pertanian mampan.
Inisiatif yang merupakan antara program impak sosial PETRONAS di Sarawak itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik Pejabat Daerah Dalat bagi mengubah tumbuhan akuatik yang sebelum ini dianggap sebagai masalah kepada sumber ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti.
Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah Md Rabu, berkata projek berkenaan memberi tumpuan kepada penghasilan baja organik menggunakan kaedah inovatif BSF yang diiktiraf sebagai antara penyelesaian berkesan dalam pengurusan sisa dan pembangunan pertanian mampan.
“Kaedah BSF telah diketahui sebagai salah satu penyelesaian kepada isu pengurusan sisa dan pertanian mampan. Pada masa sama, ia membuka peluang kepada penduduk kampung di Dalat untuk menjana pendapatan baharu.
“Di PETRONAS, aspirasi kami adalah memperkasakan komuniti setempat dalam menyokong agenda kelestarian dan ekonomi kitaran, khususnya bagi menangani cabaran yang dihadapi masyarakat luar bandar.
“Kami juga melihat projek ini sebagai usaha yang menyokong visi kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang menekankan pembangunan masyarakat berpendapatan tinggi, inklusif dan ekonomi mampan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemprosesan Baja Organik Dalat.

Norazibah berkata, projek itu tercetus hasil kerjasama erat antara PETRONAS, Pejabat Daerah Dalat dan penduduk setempat bagi mencari penyelesaian kepada masalah pembiakan teparok yang semakin agresif sehingga menjejaskan laluan pengangkutan sungai dan aktiviti harian penduduk.
Menurutnya, PETRONAS menyediakan pembiayaan bagi pembinaan pusat pemprosesan, pembelian peralatan dan mesin serta latihan kepada komuniti untuk mengendalikan operasi pusat berkenaan.
“Penyelesaian yang diambil ialah menyediakan dana bagi membina pusat pemprosesan, melengkapkannya dengan peralatan yang diperlukan serta memberi latihan kepada penduduk kampung untuk mengurus dan menjalankan operasi harian.
“Sejak awal lagi, kami menitikberatkan bahawa projek ini mesti berasaskan komuniti. Ia perlu memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan bukan hanya kepada segelintir individu,” katanya.
Beliau berkata, hasil pelaksanaan projek itu, masyarakat setempat berjaya menubuhkan Koperasi Lestari Dalat sebagai platform untuk memperluaskan penyertaan komuniti dalam rantaian ekonomi yang diwujudkan.
Katanya, penduduk boleh menjadi ahli koperasi, membekalkan teparok yang dikutip dari sungai kepada pusat pemprosesan serta terlibat secara langsung dalam operasi pengeluaran baja organik.
“Melalui model ini, penduduk yang mengutip teparok boleh menjual hasil kutipan mereka kepada koperasi, manakala mereka yang berminat turut berpeluang bekerja di pusat pemprosesan.
“Ini menjadikan projek ini benar-benar dilaksanakan oleh komuniti, untuk komuniti dan manfaatnya dapat dikongsi secara bersama,” katanya.
