PETRONAS serah pengurusan penuh jenama LINAWA kepada koperasi Long Sukang

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong (dua kanan), menyempurnakan majlis penyerahan Program Towards Uplifting Lives (TULiP) di hadapan pusat pengeluaran LINAWA di Long Sukang.

PETRONAS secara rasmi menyerahkan pengurusan penuh jenama LINAWA kepada Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad, sekali gus menandakan berakhirnya Program Towards Uplifting Lives (TULiP) yang dilaksanakan sejak 2021.

Dalam kenyataan pada 23 Julai (Khamis), PETRONAS memaklumkan penyerahan itu membolehkan koperasi berkenaan mengambil alih sepenuhnya pengurusan jenama perusahaan komuniti yang dibangunkan bagi meningkatkan nilai beras Adan dan kopi Arabika keluaran tanah tinggi Lawas.

Henry Sum (dua kiri) bersama Shalby B. Reduan (kanan) menikmati kopi LINAWA yang telah dibungkus sebagai sebahagian daripada acara berkenaan.

Program TULiP dilaksanakan hasil kerjasama PETRONAS, Institut Kehidupan Pintar dan Lestari (ISSL), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Yayasan Hasanah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Peduli Insan serta Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad.

Menurut PETRONAS, sepanjang lima tahun pelaksanaan program itu, komuniti Lun Bawang dibimbing melalui latihan keusahawanan, inovasi produk, peningkatan keupayaan serta akses ke pasaran bagi membangunkan jenama LINAWA.

“Usaha itu turut membuka peluang pendapatan baharu kepada petani tanah tinggi, selain meningkatkan nilai produk tempatan seperti beras Adan dan kopi Arabika,” menurut kenyataan itu.

PETRONAS berkata, inisiatif berkenaan turut menyaksikan Koperasi Usahasama Long Sukang Lawas Berhad berkembang menjadi organisasi yang lebih tersusun dengan keanggotaan 30 ahli serta mengendalikan kemudahan pemprosesan kopi meliputi pengumpulan, pemanggangan, pembungkusan dan pengkomersialan hasil tanaman tempatan.

Katanya, program itu juga menyumbang kepada peningkatan sehingga 10 kali ganda kawasan penanaman kopi sejak diperkenalkan, sekali gus memperkukuh pertanian tanah tinggi sebagai sumber pendapatan komuniti.

Dalam bahasa Lun Bawang, LINAWA bermaksud “sumber”. Nama itu bukan sekadar jenama, malah melambangkan asal usul, identiti serta tanah yang menjadi sumber kehidupan komuniti itu sejak turun-temurun.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak), Shalby B. Reduan, berkata penyerahan jenama LINAWA mencerminkan fokus TULiP dalam membangunkan keupayaan masyarakat setempat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang diterajui komuniti dapat dikekalkan.

“Melalui TULiP, tumpuan kami adalah untuk melengkapkan komuniti dengan latihan, pendedahan keusahawanan dan keupayaan teknikal yang diperlukan supaya mereka mampu memacu serta mengekalkan kemajuan ekonomi mereka secara berdikari.

“Dengan LINAWA kini berada sepenuhnya di bawah pengurusan koperasi, PETRONAS yakin komuniti Lun Bawang akan terus memperkukuh asas yang dibina sepanjang lima tahun lalu dan membawa jenama ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada majlis penyerahan jenama itu di Long Sukang pada 18 Julai lalu.

PETRONAS berkata, syarikat itu kekal komited mewujudkan impak sosial yang positif menerusi kerjasama strategik yang memperkasa komuniti, meningkatkan daya tahan serta menyokong kemampanan sosioekonomi untuk jangka panjang.