Lelaki yang videonya tular selepas terjun dari Jambatan Darul Hana di Kuching, dipercayai bertindak demikian selepas dicabar rakannya dalam kejadian pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan suspek berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuching di Jalan Sekama, kira-kira jam 10 malam tadi (25 Julai) bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian ini adalah berlaku pada 23 Julai 2026, kira-kira jam 10.30 malam, suspek telah terjun dari jambatan setelah dicabar oleh orang lain.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal ujian kencing suspek juga didapati positif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini (26 Julai)
Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan secara gopoh sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan nyawa sendiri atau keselamatan orang lain.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 082-244444 atau pegawai penyiasat kes InspAliff di talian 013-3115854,” katanya.
