Pelajar di kawasan luar bandar kini berpeluang mempelajari teknologi robotik, dron, tenaga solar, pengekodan dan pencetakan tiga dimensi (3D) secara lebih praktikal menerusi penubuhan Hab STEM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit, Limbang.
Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini (29 Julai) memaklumkan, Hab STEM di SMK Medamit merupakan yang kelima diwujudkan menerusi kerjasama selama dua tahun dengan Lighthouse of Hope Sarawak (LOHS) bagi memperluaskan akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di komuniti luar bandar di seluruh Sarawak.

Menurut kenyataan itu, hab berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran termasuk robotik, dron, tenaga solar, pengekodan, pencetakan tiga dimensi (3D) serta teknologi pemotongan dan ukiran laser bagi menjadikan pembelajaran STEM lebih praktikal serta menggalakkan pelajar melanjutkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang berkaitan.
Selain penyediaan peralatan, pelajar dan guru turut menerima sokongan berterusan menerusi Program Duta STEM, bengkel serta siri jelajah yang melibatkan sekolah dan komuniti berhampiran.

Di bawah Program Duta STEM, pelajar terpilih akan dilatih mengetuai aktiviti pembelajaran bersama rakan sebaya serta membantu mengurus penggunaan hab di sekolah masing-masing, manakala guru pula akan mengikuti bengkel khas bagi memperkukuh pelaksanaan pembelajaran STEM berasaskan projek.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat Sarawak Energy, Marconi Madai, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pendidikan dan pembangunan belia, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Katanya, pendidikan STEM memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi muda Sarawak menghadapi cabaran masa depan melalui pendedahan kepada teknologi dan kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal.
“Hab STEM ini membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi melalui pengalaman pembelajaran secara amali.
“Penemuan besar yang seterusnya mungkin datang daripada salah seorang daripada anda. Anda mungkin menjadi pencipta, jurutera yang membangunkan penyelesaian tenaga baharu atau usahawan teknologi yang mampu menukar sesuatu idea menjadi inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika merasmikan Hab STEM SMK Medamit pada 10 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOHS, Dr Lee Chee San, berkata kerjasama dengan Sarawak Energy membuktikan kolaborasi antara sektor korporat dan pertubuhan berasaskan komuniti mampu menghasilkan impak sosial yang berkekalan.
Beliau berkata, pihaknya berharap lebih ramai pelajar akan terdorong mengikuti pendidikan STEM dan seterusnya memilih kerjaya dalam bidang berkaitan bagi menyokong pembangunan tenaga kerja masa depan Sarawak.
Hab STEM SMK Medamit menyusuli penubuhan hab sama di SMK Long Lama, SMK Lubok Antu, SMK Bakun dan SMK Baleh sejak Memorandum Persefahaman antara Sarawak Energy dan LOHS dimeterai pada Mac 2025.
