“Saya peluk buaya itu…cuba buka mulutnya tapi tak terdaya. Saya cuba cari matanya untuk cucuk, tapi tak dapat. Saya hanya sempat pegang kepala anak sebelum dia dibawa ke tengah sungai.”
Itu luahan pilu Tuan Haji Sudin Chi, 71, yang menyaksikan sendiri detik tragis anaknya, Ahmad Alzadkhri Sudin @ Amad, 32, disambar reptilia ganas di Batang Sadong, Kampung Lubok Punggor, Simunjan pada petang Isnin (15 Sept 2025).
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa dikatakan menjala udang bersama bapanya di sungai berkenaan.
Mangsa menyelam untuk melepaskan jala yang tersangkut sebelum tiba-tiba disambar seekor buaya.
Haji Sudin yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian cuba menyelamatkan anaknya dengan memeluk tubuh reptilia itu.
Namun, usahanya tidak berhasil apabila gigitan buaya terlalu kuat, katanya dengan nada sebak ketika ditemui Sarawak Edition di kediamannya di Lubok Punggor pada Selasa (16 Sept 2025).
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) digerakkan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Simunjan, SFC dan penduduk kampung.
Setakat berita ini ditulis (10 pagi, 17 Sept 2025), mangsa belum dijumpai.