Seorang saksi kejadian menceritakan detik cemas apabila melihat seorang bapa bertarung dengan buaya dalam usaha menyelamatkan anaknya yang akhirnya dibaham reptilia itu di Lubok Punggor, Simunjan pada petang Isnin (15 Sept 2025).
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, manakala bapanya, Sudin Chi, 71, terselamat dan difahamkan masih trauma dengan insiden berkenaan.
Saksi, Suhaili Morshidi, 45, berkata dia menyedari kejadian itu ketika mengisi minyak di botnya sekitar jam 5.40 petang sebelum terdengar jeritan dan bunyi seperti air dipukul.
“Saya menoleh ke arah bunyi itu dan nampak bapa mangsa sedang bertarung dengan buaya. Dia cuba menyelamatkan anaknya,” katanya sambil menambah, ketika itu dia belum tahu bahawa Sudin cuba melepaskan anaknya, hanya memikirkan Sudin yang diserang buaya.

Menurut Suhaili, beliau segera bergegas mendapatkan ahli keluarga mangsa untuk bertanyakan sama ada ada dalam kalangan mereka yang keluar menjala pada waktu itu.
“Ahli keluarga mangsa mengesahkan memang ada yang menjala. Pada mulanya saya sangka bapa mangsa yang dibaham kerana nampak dia tenggelam timbul di permukaan sungai.
“Selepas lihat bapa mangsa selamat, barulah saya maklumkan perkara itu kepada keluarganya,” katanya.
Setakat malam ini (Selasa), Ahmad Alzadkhri masih belum ditemui dan operasi mencari serta menyelamat oleh pasukan bomba, agensi penguat kuasa dan penduduk kampung disambung pada Rabu.