UiTM Sarawak raikan 1,048 graduan di Konvokesyen Ke-102

Seramai 1,048 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen ke-102 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang berlangsung selama dua hari (17 & 18 Sept 2025) di Dewan Jubli Kampus Samarahan.

Daripada jumlah itu, seramai 499 graduan menerima ijazah sarjana muda manakala 549 graduan dianugerahkan diploma melibatkan empat sidang konvokesyen.

Sidang pertama menyaksikan 264 graduan diraikan, diikuti 258 (sidang kedua), 267 (sidang ketiga) dan 259 pada sidang keempat.

Selain itu, 65 graduan menerima Anugerah Naib Canselor (ANC), terdiri daripada 54 penerima perempuan dan 11 lelaki.

Penganugerahan ijazah dan diploma pada sesi kali ini disempurnakan Pro-Canselor UiTM, YBhg Dato’ Prof Emeritus Dr Hassan Said, dengan turut dihadiri Rektor UiTM Sarawak, Prof Dr Firdaus Abdullah bersama barisan kepimpinan universiti.

Konvokesyen berkenaan juga merupakan kesinambungan daripada Istiadat Konvokesyen ke-102 UiTM yang sedang berlangsung di Shah Alam sejak 3 September lalu, selain akan diteruskan di UiTM Sabah pada 8 hingga 9 Oktober depan.

Dalam pada itu, antara kisah inspirasi graduan kali ini ialah Siti Asfajarina Salleh, 48, Pembantu Tadbir di Yayasan Sarawak, yang menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dengan CGPA 3.28 selepas menamatkan pengajian lapan semester.

Beliau yang merupakan pelajar paling berusia dalam kelasnya turut meraih Anugerah Dekan pada semester empat, sekali gus membuktikan usia bukan halangan untuk berjaya.

Ucapan Pro-Canselor

Pro-Canselor UiTM, Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said berkata kejayaan graduan kali ini lebih bermakna apabila Laporan Kadar Bekerja Graduan UiTM 2024 merekodkan 92.1 peratus, membuktikan tahap kebolehpasaran pelajar berada pada kedudukan yang kukuh.

“Pencapaian ini turut mengangkat martabat UiTM apabila diiktiraf sebagai Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank. Ia adalah bukti komitmen seluruh warga universiti memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan inovasi,” katanya ketika menyampaikan ucapan.

Beliau menegaskan UiTM Sarawak giat memperluas jaringan kerjasama dengan industri serta agensi, antaranya Konsortium Bumi Consultant and Services, Centre for Technology Excellence Sarawak, selain rakan antarabangsa seperti Zamboanga Peninsula Polytechnic State University, Filipina.

Selain itu, UiTM juga memperkukuh pendedahan antarabangsa melalui program University Intercultural Exchange 2025: Mapping Sarawak to the World di Dublin, Ireland, serta program Come Discover Bumi Kenyalang 2025 yang menghimpunkan pelajar dari Indonesia, China dan Kemboja.

“Semua usaha ini dirangka bagi memastikan graduan bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi berdaya tahan, berintegriti serta mampu menyumbang di peringkat nasional dan global,” katanya.