Polis menahan tiga individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita menerusi Op Kesan 01/2025 selepas disyaki menjadi keldai akaun bank bagi kes phone scam yang menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit di beberapa negeri.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew ak Manggie berkata, ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok diketuai Inspektor Sopian Zainuddin pada 6 Oktober 2025.
Menurut beliau dalam kenyataan pada Isnin, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga Malaysia kerana disyaki terlibat sebagai pemilik akaun bank yang digunakan untuk kes penipuan Phone Scam di Pulau Pinang dan menyebabkan mangsa, kerugian sebanyak RM3,500.
Tangkapan kedua dibuat ke atas seorang perempuan rakyat tempatan disyaki terlibat dengan Phone Scam Menyamar Pegawai Polis dan telah menyebabkan mangsa yang berada di Keningau Sabah kerugian RM14,400. Untuk kes ini, dia berperanan sebagai keldai akaun.
Tangkapan ketiga ke atas seorang perempuan kerana disyakki terbabit dengan satu kes penipuan Pinjaman Tidak Wujud yang mana seorang mangsa yang berada di Sabah kerugian RM 27,460.00. Untuk kes ini, dia berperanan sebagai keldai akaun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Semua suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian sebenar sindiket terlibat,” katanya.