Abang terkam buaya cuba selamatkan adik, namun gagal

Usaha seorang lelaki menerkam buaya bagi menyelamatkan adiknya daripada serangan reptilia itu di Sungai Semanok, Ladang Tatau Estate, Tatau, pada Sabtu (27 Sept) gagal apabila mangsa terus dibawa ke dalam sungai.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, Jeffery Masing Anak Win, 21, dilaporkan hilang ketika mandi bersama abangnya sebelum disambar buaya berkenaan.

Bomba menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 8.27 malam.

“Mangsa bersama abang nya mandi di anak sungai berdekatan pondok kebun sebelum dibaham buaya yang disaksikan oleh abangnya sendiri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Operasi mencari serta menyelamat (SAR) digerakkan pada pagi Ahad.

Pencarian dipecahkan kepada dua sektor iaitu air dan darat membabitkan kawasan Sungai Sedupai dan Sungai Semanok dengan radius pencarian sejauh lima kilometer dari muara sungai.

Selain bomba, operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta penduduk kampung.

Operasi yang bermula jam 9.24 pagi itu ditangguhkan pada jam 5 petang atas nasihat polis dan akan disambung semula pada Isnin. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *