Mr Kiron dinobat sebagai Cat Ambassador Kuching Utara

Kuching International Cat Festival (KICF) 2025 menutup tirai dengan penuh gemilang apabila seekor kucing baka Maine Coon bernama Mr Kiron secara rasmi dinobatkan sebagai Cat Ambassador Bandaraya Kuching Utara.

Pelantikan ini merupakan pengiktirafan istimewa setelah Mr Kiron mencatat kejayaan luar biasa dengan mengekalkan gelaran Juara Kebangsaan World Cat Show selama empat tahun berturut-turut (2022–2025). Kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat nama Mr Kiron, malah turut mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Sebagai Duta Bandaraya, Mr Kiron kini menjadi wajah utama festival kucing, sekali gus memperkukuh imej Kuching sebagai “City of Cats” di mata dunia. Pengiktirafan ini turut membuktikan bahawa kucing tempatan mampu menjadi ikon global yang menghubungkan Kuching dengan komuniti pencinta haiwan antarabangsa.

Majlis perasmian Kelab Kiron Malaysia dan Penutupan Kuching International Cat Festival 2025 telah disempurnakan oleh Penaung Kelab Kucing Kiron Malaysia, Puan Dayang Norjihan binti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari.

Hadir sama, Yang Berhormat Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) serta Yang Berbahagia Dato Haji Hilmy bin Haji Othman, Datuk Bandar Kuching Utara merangkap Penasihat (1) Kelab Kucing Kiron Malaysia.

Sepanjang tiga hari penganjuran, Kuching International Cat Festival 2025 yang berlangsung di Kuching Waterfront berjaya menarik ribuan pengunjung. Antara tarikan utama ialah World Cat Show yang menampilkan kira-kira 246 ekor kucing pelbagai baka dari dalam dan luar negara termasuk Thailand, Filipina, China, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

Selain itu, acara Live Cat Parade mencuri perhatian ramai apabila sekitar 40 ekor kucing berarak sejauh 600 meter bermula dari Muzium Cina Kuching hingga ke pentas utama KICF 2025. Aksi comel kucing bersama pemiliknya menambahkan kemeriahan festival tahun ini.

Pelbagai aktiviti lain turut memeriahkan festival, antaranya My Cat Expo, Cat Grooming Demonstration, Cat Dance Competition, Cat Fashion Show, serta persembahan buskers yang menghiburkan pengunjung sepanjang program.

Penganjuran KICF 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dalam mempromosikan Kuching sebagai destinasi pelancongan ikonik dan unik di Asia Tenggara. Festival ini juga menjadi platform penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui penyertaan peniaga, pengusaha industri haiwan peliharaan serta penggiat seni dan budaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *