Sarawak terus menunjukkan kedudukan fiskal yang mantap apabila tiga agensi penarafan utama — Moody’s, S&P Global Ratings dan Rating Agency Malaysia (RAM) — masing-masing mengekalkan penarafan kredit negeri pada tahap pelaburan yang kukuh.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu, berkata Moody’s mengekalkan penarafan A3 dengan Stable Outlook, manakala S&P turut mengekalkan penarafan A– dengan Stable Outlook. RAM pula sekali lagi mengekalkan penarafan tertinggi, iaitu Triple A.
Beliau berkata kepercayaan berterusan daripada agensi penarafan antarabangsa dan domestik itu membuktikan keteguhan kedudukan kewangan Sarawak serta keberkesanan tadbir urus negeri.
“Penilaian bebas ini berasaskan bukti dan diukur mengikut standard antarabangsa tertinggi. Ia menjadi testimoni jelas terhadap kekukuhan kewangan kita serta cara berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengurus setiap ringgit,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan tadbir urus baik dan pengurusan kewangan berhemat, selain memastikan integriti dan akauntabiliti di tahap tertinggi.
Abang Johari berkata, Jabatan Audit Negara juga secara konsisten menganugerahkan Sijil Bersih kepada Sarawak sejak beberapa tahun lalu, menandakan tahap ketelusan dan disiplin kewangan yang tinggi.
Beliau menambah, penarafan kukuh ini meningkatkan keyakinan pelabur dan mengukuhkan keupayaan Sarawak untuk melaksanakan projek pembangunan strategik tanpa menjejaskan daya tahan fiskal negeri.
