Dua individu di Miri kerugian RM457,000 selepas masing-masing menjadi mangsa penipuan pelaburan tak wujud dalam talian dan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Miri menerima dua laporan berasingan pada 17 Oktober 2025 berkaitan kes berkenaan.
Dalam kes pertama, seorang wanita tempatan berusia awal 40-an mendakwa terpedaya dengan iklan pelaburan di Facebook sebelum berhubung dengan seorang individu memperkenalkan diri sebagai broker kewangan melalui WhatsApp.
Mangsa kemudian membuat beberapa bayaran ke beberapa akaun bank berbeza berjumlah RM136,000 bagi tujuan pelaburan, selain tambahan RM96,000 sebagai kos pengeluaran modal dan keuntungan.
“Bagaimanapun, mangsa gagal mendapatkan semula wang modal dan keuntungan dijanjikan. Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM208,000,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (18 Okt).
Sementara itu, dalam kes kedua, seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an pula mendakwa menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan pegawai polis.
“Mangsa dimaklumkan kononnya terbabit dalam urusan penghantaran barang mencurigakan dan akan disiasat. Bimbang ditangkap, mangsa membuat bayaran ke sembilan akaun berbeza yang diberikan suspek,” katanya.
Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga sebelum membuat laporan polis. Jumlah kerugian dilaporkan sebanyak RM249,100.
Menurut Mohd Farhan, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pelaburan tidak sah dan tidak mudah percaya kepada panggilan telefon yang mendakwa daripada agensi penguatkuasaan.
“Semakan status pelaburan boleh dibuat menerusi laman web Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.
