Kuching City berpesta gol, tempah tiket ke suku akhir Piala FA

Malam gemilang di Stadium Negeri Sarawak menyaksikan Kuching City FC pada malam Ahad (14 Sept 2025) melakar kemenangan bergaya 7-1 ke atas Brunei DPMM FC sekali gus melangkah ke suku akhir Piala FA.

Tuan rumah yang turun dengan misi memburu agregat lebih selesa, membuka jaringan seawal minit pertama menerusi sentuhan penyerang import, Ronald Ngah Wanja selepas menerima hantaran jauh sebelum menolak masuk bola dengan tenang.

Rentak garang itu berterusan apabila Danial Asri tidak melepaskan peluang menanduk masuk hantaran lintang Ramadhan Saifullah pada minit ke-12 untuk menggandakan kedudukan.

DPMM semakin tertekan selepas kehilangan Jordan Rodrigues yang dilayangkan kad merah kerana menyiku kapten Kuching City, James Okhuwosa, sekali gus memaksa pelawat beraksi dengan 10 pemain seawal babak pertama.

Keadaan itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Ngah Wanja menambah gol ketiga pada minit ke-45, sebelum melengkapkan hatrik peribadi pada minit ke-53.

Pasukan pelawat bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Ramadan Sananta pada minit ke-58, namun kebangkitan mereka pantas dipadamkan.

Seminit kemudian, Ramadhan Saifullah meledak rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 5-1.

KCFC tidak mengendurkan asakan dan sekali lagi menambah jaringan melalui Danial Asri pada minit ke-78. Pemain gantian, Joao Pedro, melengkapkan pesta gol dengan sentuhan pada minit ke-90 untuk memastikan kemenangan selesa 7-1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *