Kuching International Cat Festival 2025: Ribuan pencinta kucing bakal serikan City of Cats

Dari kucing parsi berbulu gebu hingga baka tempatan yang manja, ribuan pencinta kucing bakal berkumpul di Kuching Waterfront hujung minggu ini meraikan haiwan kesayangan yang sinonim dengan identiti bandar raya ini.

Selama tiga hari bermula 26 hingga 28 September, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Putra Cat Boarding and Service akan menganjurkan Kuching International Cat Festival 2025, sebuah acara yang dinaik taraf daripada penganjuran terdahulu yang dikenali sebagai Cat Show.

Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah berkata, penjenamaan semula ini mencerminkan skala festival yang lebih besar dengan pengisian program yang lebih pelbagai serta sesuai dengan jolokan Kuching sebagai City of Cats.

Antara tarikan utama ialah World Cat Show yang menampilkan lebih 246 ekor kucing pelbagai baka dari dalam dan luar negara, selain Cat Parade membabitkan 76 ekor kucing yang dijadualkan berlangsung pada 27 September jam 7 malam.

Bagi menambah kemeriahan, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti sampingan seperti My Cat Expo, demonstrasi dandanan kucing, pertandingan tarian kucing, pertunjukan fesyen kucing serta persembahan buskers.

“DBKU dengan sukacitanya menjemput seluruh warga bandar raya Kuching serta pelancong dari dalam dan luar negara untuk hadir memeriahkan festival ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Masuk adalah percuma dan pengunjung berpeluang membawa keluarga untuk menyaksikan sendiri keunikan festival kucing terbesar di Sarawak yang dijangka menjadi antara acara paling meriah tahun ini.