Sarawak dijangka menyaksikan lapan lagi jambatan utama siap dan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir tahun ini, sekali gus memperkukuh jaringan perhubungan di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan infrastruktur terus menjadi tulang belakang kemajuan Sarawak menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, kerajaan Sarawak melaksanakan pembinaan 21 jambatan utama bersama rangkaian jalan penting menerusi Coastal Road Network Connectivity Programme dan Second Trunk Road.
“Daripada 21 buah jambatan utama ini, 10 telah siap dibina dan dibuka kepada orang ramai, menggantikan enam perkhidmatan feri yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada rutin perjalanan harian masyarakat setempat.
“Menjelang akhir tahun ini, lapan lagi jambatan dijangka siap,” katanya berucap pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu (20 Mei 2026).
Abang Johari berkata, Sarawak turut bakal mencipta sejarah apabila Jambatan Batang Lupar No.1 di Sebuyau dibuka untuk laluan umum pada Khamis (21 Mei).
Katanya, jambatan sepanjang 4.8 kilometer itu merupakan jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia dan bakal menamatkan perkhidmatan feri Triso.
“Dengan jambatan tok, rakyat dapat balit kampung dengan mudah sempena sambutan Hari Raya Haji dan Hari Gawai. Sikda gago nak bertunggu feri lagik,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan jambatan berkenaan akan membuka lembaran baharu sistem perhubungan yang lebih pantas dan lancar untuk penduduk di kawasan pesisir.
Menurutnya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan negeri menyasarkan 100 peratus jaringan jalan raya di seluruh Sarawak bagi memastikan setiap komuniti dihubungkan dengan peluang ekonomi, perkhidmatan dan pembangunan.
