KUCHING, 31 Mac – Bandar raya ini sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila penganjuran DBKU International X-Games 2026 dijadual berlangsung di Kuching Waterfront dari 8 hingga 12 April depan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama kementeriannya serta Canard Group.
Menurut beliau, edisi kali ini tampil dengan skala lebih besar dan berprestij susulan kejayaan penganjuran pada tahun 2024 dan 2025, selain turut berkolaborasi bersama Canroll Pro Urban Sports Festival.
“Dengan tema ‘Unleash the Action’, acara ini mencerminkan semangat keberanian, kreativiti serta kemahiran tinggi dalam kalangan atlet sukan ekstrem, di samping meraikan gaya hidup aktif dalam kalangan belia,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejohanan itu dijangka menghimpunkan lebih 200 atlet sukan ekstrem dari dalam dan luar negara, sekali gus mengangkat Kuching sebagai pentas utama aksi sukan berintensiti tinggi.
Antara acara dipertandingkan melibatkan dua kategori iaitu junior bawah 15 tahun (U15) dan terbuka ialah aggressive rollerblading, BMX flatland, BMX stunt, sukan air, skateboarding, pickleball serta street basketball.
Tambah beliau, penganjuran kejohanan itu bertujuan menyediakan platform kompetitif kepada atlet tempatan untuk mengetengahkan bakat di peringkat antarabangsa.
“Ia juga membuka peluang kepada mereka untuk bersaing dan bertukar pengalaman dengan atlet luar negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan program itu berperanan sebagai medium strategik untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi utama sukan ekstrem, selain memperkasa penglibatan belia dalam aktiviti sihat dan berdaya saing.
Selain pertandingan, katanya, turut diadakan bengkel skateboarding dan rollerblading yang terbuka kepada orang ramai, khususnya golongan belia yang ingin mempelajari kemahiran asas.
“DBKU berharap penganjuran ini dapat terus menyemarakkan semangat kesukanan serta memperkukuh kedudukan Kuching sebagai bandar raya yang aktif, progresif dan mesra belia,” katanya.