Isuzu D-Max 2026 tampil dengan enjin 2.2L turbocas baharu, lebih berkuasa dan jimat bahan api

Isuzu D-MAX dengan janaan enjin diesel 2.2 liter turbocas baharu yang dinanti-nantikan kini telah tiba, memberikan keunggulan teknologi, dalam masa yang sama menawarkan enjin bersih dan mesra alam untuk pemilik trak pikap.

Sebagai sebuah trak pikap yang meraih banyak anugerah, Isuzu D-MAX sejak awal telah menawarkan banyak manfaat kepada pemiliknya.

Paling utama adalah penjimatan bahan api, daya tahan yang tinggi, prestasi serta kepelbagaian penggunaan yang telah dinikmati dan disanjungi oleh ramai pemiliknya di seluruh dunia.

Selain itu, rekaan yang menawan serta tahap keselesaan dan keselamatan yang melengkapinya telah menjadikan D-MAX sebagai salah satu trak pikap yang paling lengkap dan berkemampuan tinggi dalam pasaran ketika ini.

Hari ini, aras berkenaan ditingkatkan lagi dengan pengenalan barisan model Isuzu D-MAX 2026 yang menampilkan enjin diesel 2.2 liter turbocas yang sekali gus membawa bersamanya pembaharuan menyeluruh berbanding unit 1.9 liter sedia ada; baik dari segi kuasa, tork, kecekapan pemanduan dan peningkatan kehalusan hinggalah kepada kecekapan penggunaan bahan api, tahap mesra alam dan juga ketahanan.

Ia juga datang dengan tahap teknologi yang lebih canggih, yang diberi jolokan sebagai “enjin terbaik Isuzu” setakat ini.

Berucap ketika majlis pelancaran Isuzu D-MAX 2.2 liter terbaharu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi menzahirkan keyakinannya bahawa enjin diesel 2.2 liter turbocas baharu ini akan menjadi penentu yang melonjakkan lagi tahap penerimaan dan permintaan pasaran terhadap trak pikap D-MAX yang memang sudah terkenal memberikan kepelbagaian penggunaan serta berkemampuan tinggi di negara ini.

“Barisan model Isuzu D-MAX 1.9 liter sebelum ini telah menjadi sangat popular dalam kalangan pengguna yang kagum terhadap kemampuannya untuk menjadikan setiap perjalanan begitu lancar, selesa dan cekap. Hari ini, kami bawakan penawaran yang setahap lebih tinggi dari segi prestasi dan kenikmatan pemanduan melalui pengenalan barisan Isuzu D-MAX 2026 dengan enjin diesel baharu 2.2 liter turbocas. Saya percaya pengguna di Malaysia akan menghargai peningkatan prestasi dan pemanduan yang diberikan oleh model baharu ini, yang dalam masa yang sama turut memberikan penjimatan bahan api yang unggul,” ujar Yamaguchi.

Menghasilkan 8.7% lebih kuasa berbanding enjin 1.9 liter dengan menghasilkan sebanyak 163 PS pada 3,600 rpm, enjin diesel baharu 2.2 liter turbocas ini turut memberikan output tork yang lebih baik dengan peningkatan sebanyak 14.3%, sekali gus mencapai 400 Nm antara 1,600 rpm hingga 2,400 rpm.

“Lebih daripada separuh daripada tork maksimum itu dijana dari 1,000 rpm, memberikan kelebihan pada kadar rpm yang lebih rendah, menjadikannya lebih menyenangkan untuk dipandu. Ini digandingkan pula dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan baharu dengan sequential shift, membawakan tahap baharu bagi dinamik pemanduannya, baik untuk urusan kerja atau bersahaja,” tambah Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo.

D-MAX X-Terrain akan kekal menjadi penawaran flagship untuk model ini, yang dikuasakan secara eksklusif oleh enjin 3.0 liter, sementara enjin 2.2 liter baharu ini akan ditawarkan dalam varian Premium 4×4 ke atas.

Ini diikuti oleh varian 4×2 Auto Plus dan varian paling laris, Standard 4×4. Turut menyertai barisan penawaran ini ialah varian Single Cab dengan transmisi automatik yang pertama di Malaysia. Isuzu D-MAX 2.2 liter Single Cab Auto akan berkongsi kotak gear automatik lapan-kelajuan yang sama dengan barisan model 2.2 liter yang lain, tetapi diberikan talaan khusus untuk memenuhi keperluan angkut bebanannya yang lebih besar.

Ia juga turut menerima ciri Rough Terrain Mode, sebuah sistem kawalan cengkaman oleh Isuzu yang menjadikan pemanduan lebih mudah. Juga merupakan penawaran pertama dalam kelasnya adalah pematuhan piawaian emisi ekzos Euro 5 yang menjadikan Isuzu D-MAX 2.2 liter sini sebuah trak pikap yang paling bersih dan mesra alam dalam kelasnya.

Selain enjin, Isuzu D-MAX 2026 turut menerima beberapa kemaskini lain, termasuk kluster lampu, gril, rim dan pemijak sisi baharu. Model ini juga turut diberikan pilihan dua warna badan baharu, iaitu Inishmore Green Metallic dan Obsidian Gray Mica untuk varian terpilih. 2.2 liter Single Cab juga tersedia dalam pilihan warna Mercury Silver Metallic, selain warna Splash White asas. Varian automatik tersebut turut diberikan bampar dalam warna badan untuk penampilan yang lebih menarik.

Sebagai tambahan, Isuzu D-MAX 2026 turut menerima peningkatan lain seperti sistem infotainmen 10-inci baharu untuk varian X-Terrain, Premium dan 4×2 Plus. Varian Standard menerima head unit tujuh-inci baharu dan kini turut lengkap dengan ciri Tailgate Assist.

Rough Terrain Mode kini merupakan ciri standard untuk semua varian dengan pacuan 4×4, termasuk Single Cab 4×4 Manual. Berdasarkan daya tarikan baharu dari segi reka bentuk, dinamik pemanduan, penjimatan bahan api yang lebih baik serta cukai jalan yang berbeza hanya sebanyak RM172.00 berbanding model 1.9L di Semenanjung Malaysia, Isuzu D-MAX 2.2L turbocas diesel serba baharu dijangka akan terus menjadi model penting dan terlaris untuk Isuzu.

Harga bagi Isuzu D-MAX 2026 ini bermula dari RM103,121.20 belum termasuk insuran bagi varian Isuzu D-MAX 2.2 liter Single Cab (M) di Semenanjung Malaysia; RM105,204.60 di Sabah; RM105,267.60 di Sarawak, sementara Isuzu D-MAX 2.2 liter Premium 4×4 dijual dengan harga RM141,821.20 di Semenanjung Malaysia; RM144,804.60 di Sabah; RM144,867.60 di Sarawak.

Semua model Isuzu D-MAX 2.2 liter dan 3.0 liter didatangkan dengan pakej servis percuma 20,000 km/2-tahun dan menikmati jaminan sehingga 150,000 km atau lima-tahun, kecuali untuk X-Terrain yang menikmati tempoh jaminan tujuh-tahun tanpa had perbatuan. Isuzu D-MAX 2026 baharu akan berada di semua bilik pameran sah Isuzu di seluruh negara bermula 31 Mac 2026.