Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di Sibu dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun serta rampasan dadah jenis syabu seberat kira-kira 3.09 kilogram bernilai RM117,598.22.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkifli Suhaili berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada 22 Oktober lalu di sebuah rumah di Lorong Rejang Park, Sibu.
“Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 2,055.85 gram dadah jenis syabu. Berdasarkan maklumat lanjut hasil soal siasat, pemeriksaan susulan dilakukan di sebuah premis perkhidmatan kurier dan menemui lagi 1,038.84 gram syabu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (24 Okt).
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah 3,094.69 gram yang dianggarkan bernilai RM117,598.22 dan mampu dibekalkan kepada kira-kira 15,474 penagih.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai runner dan store keeper dalam sindiket pengedaran dadah di Sibu yang dipercayai aktif sejak April 2025. Bekalan dadah tersebut diperoleh dari Semenanjung Malaysia menggunakan perkhidmatan kurier dan disasarkan untuk pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
“Suspek kini direman selama enam hari bermula 23 hingga 29 Oktober untuk membantu siasatan lanjut. Pihak JSJN turut giat memburu saki-baki sindiket lain bagi melumpuhkan rangkaian ini sepenuhnya,” katanya.
Zulkifli turut berkata kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara JSJN PDRM Sarawak dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam membanteras kegiatan dadah di negeri ini.
