Lelaki ditahan rosakkan barangan pameran di pejabat jualan di Kuching

Gambar oleh IPD Kuching menunjukkan lokasi kejadian kes khianat.

Polis tahan suspek 46 tahun, direman empat hari untuk siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan

Pada 22 Oktober 2025, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita tempatan berumur 23 tahun berhubung kejadian khianat harta benda yang berlaku pada 22 Oktober 2025, kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah pejabat jualan di Jalan Datuk Tawi Sli, Kuching.

“Siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan telah bertindak merosakkan beberapa barangan pameran selepas berasa tidak berpuas hati terhadap layanan yang diterima daripada kakitangan di situ,” kata beliau dalam kenyataan media, malam ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun di lokasi kejadian pada hari yang sama.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral, Kuching, dan permohonan reman telah diluluskan oleh mahkamah selama empat hari bermula 24 Oktober 2025 hingga 27 Oktober 2025 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuching menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, SJN Salina bte Drahman di talian 014-6828067.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *