Seorang lelaki ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumah pekerja di Simpang Rumah Kiroh Anak Bali, Tatau pada Isnin (8 Dis).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa, Daniel Anak Jumau, 23, sebelum itu dilaporkan hilang apabila rakan yang bersamanya hanya menemui tuala dan selipar miliknya di tepi kolam ketika mangsa dikatakan hendak mandi.
JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang Ahad (7 Dis) dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau tiba di lokasi pada 4.19 petang, kira-kira satu kilometer dari balai.
Pusat Gerakan Operasi, JBPM Sarawak berkata, rakan mangsa telah cuba mencari mangsa namun tidak menemui sebarang petunjuk sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung pada hari kedua pagi Isnin dengan penglibatan Unit Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon 5 dari BBP Bintulu bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pada 10.26 pagi, selaman pertama dilakukan menggunakan teknik sweep, sebelum mangsa ditemui pada 10.41 pagi di dasar kolam pada kedalaman enam meter.
Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 11.01 pagi atas arahan Ketua Polis Daerah Tatau.
Operasi melibatkan sembilan anggota BBP Tatau serta empat anggota PPDA Bintulu.