Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan yang berlaku berhampiran SK Telagus, Jalan Balai Ringin, Serian pada tengah hari, Isnin (8 Dis).
Menurut Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kemalangan itu melibatkan sebuah Toyota Avanza, Proton Saga dan Proton X50.
Beliau berkata, Toyota Avanza membawa empat mangsa (termasuk lelaki berusia 55 tahun yang meninggal dunia) terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Toyota Avanza membawa empat mangsa terdiri daripada dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak.
“Sebelum ketibaan pasukan bomba, semua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh pihak KKM, manakala seorang lelaki dewasa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Bagi penumpang Proton Saga dan Proton X50, kesemuanya mengalami kecederaan ringan.
“Pasukan Bomba membantu pihak KKM memberi rawatan mangsa cedera di lokasi kejadian. Setelah memastikan keadaan selamat, PKO bertolak balik ke balai,” katanya.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi menggunakan satu jentera FRT dan satu unit EMRS.
