Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Klinik Kesihatan Mendamit, Limbang, sejak 21 Disember lalu, ditemukan meninggal dunia pagi Rabu (24 Dis).
Mangsa, Ganda anak Sandin, 56, ditemui terapung di sungai Kampung Tanjung kira-kira 12 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi Pusat Gerakan Operasi (PGO) memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 1.10 tengah hari, 23 Disember lalu.
Operasi SAR diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Ismail bersama lima anggota BBP Limbang, dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
Menurut kenyataan PGO, pada jam 9.50 pagi, pasukan SAR menerima makluman orang awam mengenai penemuan satu jasad terapung di sungai Kampung Tanjung sebelum bergerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan SAR tiba di lokasi pada jam 10.48 pagi dan mendapati mangsa berada dalam keadaan sempurna tubuh badan.
“Pemeriksaan awal dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum jasad diserahkan kepada pihak polis pada jam 11.17 pagi,” menurut kenyataan itu.