Malaysia paling aktif guna AI rancang percutian – Laporan Agoda

Malaysia muncul sebagai negara paling aktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk merancang percutian, menurut 2026 Travel Outlook Report terbaharu yang diterbitkan platform pelancongan digital Agoda.

Berdasarkan tinjauan melibatkan 3,353 responden dari sembilan negara Asia, seramai 40 peratus rakyat Malaysia sudah menggunakan AI untuk merancang perjalanan — tertinggi dalam kalangan semua pasaran yang dikaji. Selain itu, 59 peratus menyatakan mereka berkemungkinan besar menggunakan teknologi itu bagi percutian seterusnya, manakala 36 peratus yakin terhadap maklumat yang dijana AI.

Agoda turut melaporkan bahawa rakyat Malaysia menggunakan AI untuk pelbagai tujuan perancangan, termasuk cadangan destinasi (34 peratus), aktiviti dan tarikan (33 peratus) serta pilihan restoran (29 peratus).

Trend ini, menurut laporan sama, semakin relevan apabila pelancongan domestik terus meningkat. Hampir 47 peratus rakyat Malaysia merancang melancong dalam negara pada 2026, berbanding hanya 17 peratus tahun sebelumnya, dengan destinasi sekunder kini menjadi pilihan kerana kos yang lebih rendah, promosi istimewa dan pengalaman berasaskan alam semula jadi.

Dari segi tabiat bercuti, kebanyakan rakyat Malaysia merancang percutian antara empat hingga tujuh hari, lazimnya bersama keluarga (59 peratus) atau pasangan (28 peratus). Dalam soal penginapan pula, 64 peratus merancang berbelanja USD50 (kira-kira RM206.62) atau kurang semalam.

Menurut Pengarah Negara Malaysia dan Brunei Agoda, Fabian Teja, pelancong Malaysia kini menumpukan kepada percutian yang lebih terancang dan bermakna, dengan AI berperanan membantu menyesuaikan pengalaman mengikut cita rasa individu.

“Menjelang 2026, rakyat Malaysia semakin mengutamakan percutian yang terancang dan bermakna… Agoda teruja untuk membantu lebih ramai pelancong meneroka destinasi popular dan baharu sempena Visit Malaysia 2026,” katanya.

Agoda menawarkan lebih enam juta penginapan, 130,000 laluan penerbangan dan 300,000 aktiviti yang boleh digabungkan dalam satu tempahan melalui aplikasi mudah alih atau laman webnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *