MUMBAI, INDIA, 5 Feb 2026 – Pelancongan bukan sekadar mempromosikan destinasi, sebaliknya berperanan menghubungkan manusia merentasi budaya dan cara hidup melalui perkongsian dua hala, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata, pendedahan itu bukan hanya membolehkan pelawat antarabangsa memahami kekayaan budaya serta kehidupan masyarakat tempatan, malah memberi peluang kepada rakyat Sarawak, khususnya generasi muda, mengenali cara hidup dan budaya masyarakat di negara lain.

“Pelancongan adalah tentang menghubungkan manusia. Kita mahu berkongsi bagaimana kita menjalani kehidupan dan budaya kita, dan pada masa sama melihat bagaimana orang lain menjalani kehidupan mereka.
“Ia bukan urusan satu hala semata-mata, selain menggalakkan orang luar datang ke Sarawak, kita juga berkongsi dengan anak-anak kita destinasi yang baik untuk diterokai,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemu bual wartawan pada Outbound Travel Mart 2026 (OTM 2026) di Jio World Convention Centre, Mumbai, India, hari ini (5 Feb 2026).
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pasaran India sebagai pasaran yang sangat besar dan berpotensi, bukan sahaja dari segi jumlah pelancong, malah merangkumi peluang kerjasama yang lebih luas dengan destinasi lain.
“Pasaran ini sangat besar, bukan hanya dari sudut pembelian, tetapi juga melibatkan banyak tempat lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata pasaran India menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, sekali gus membuka ruang kerjasama pemasaran yang lebih luas antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, India bukan sahaja giat mempromosikan produk pelancongannya sendiri, malah mempunyai keupayaan besar sebagai pasaran strategik untuk digarap bersama, memandangkan Sarawak mempunyai banyak keunikan untuk ditawarkan kepada dunia.
“Saya melihat ini sebagai satu pasaran yang sangat besar dan kita boleh bergerak bersama-sama untuk memasarkan destinasi masing-masing kerana Sarawak mempunyai begitu banyak produk untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa seperti OTM, beliau menegaskan komitmen Sarawak untuk terus mengambil bahagian sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang mempromosikan pelancongan negeri.
“Penyertaan ini pasti diteruskan. Ini lawatan pertama saya ke India dan daripada pemerhatian peribadi, saya melihat potensi yang sangat besar untuk kita bergerak lebih agresif selepas ini.
“Ini adalah pameran yang wajar kita sertai,” katanya.
Abdul Karim berkata, meskipun pavilion Malaysia di OTM 2026 tidak terlalu besar, ia akan terus berkembang dari semasa ke semasa seiring kerjasama bersama pemain industri pelancongan negara.
“Walaupun pavilion kita tahun ini sederhana, ia akan berkembang pada masa hadapan bersama keluarga Malaysia,” katanya.
Outbound Travel Mart (OTM) 2026 ialah pameran perdagangan pelancongan terbesar di Asia dan peneraju industri pelancongan di India, yang berperanan sebagai pintu masuk ke pasaran pelancongan keluar negara India. Dianggarkan seramai 2,000 pempamer dan peserta dari 60 hingga 80 buah negara akan mengambil bahagian pada tahun ini.
Sebagai antara pasaran pelancongan keluar negara yang paling pesat berkembang di dunia, India menawarkan potensi besar, dan OTM menyediakan akses terus kepada pembeli perdagangan yang berkelayakan, pengendali pelancongan, media serta agensi bernilai tinggi, selain diiktiraf secara meluas atas kredibiliti dan jangkauan pasarannya di India dan Asia.
Penyertaan Lembaga Pelancongan Sarawak bertempat di reruai seluas 50 meter persegi bertemakan “Sarawak – Gateway to Borneo”, bersama empat Rakan Dagang Sarawak yang mengetengahkan kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan Sarawak.