Maxim, Zlata perkenal insurans fleksibel untuk pemandu e-hailing di Sarawak

Maxim E-hailing Malaysia bekerjasama dengan Zlata, agensi insurans di bawah Kumpulan Sejamas, bagi menyediakan perlindungan insurans lebih fleksibel untuk pemandu e-hailing di Sarawak.

Kerjasama itu mengambil kira keperluan operasi pemandu di Kuching, Miri dan Sibu yang melibatkan perjalanan jarak jauh serta pergerakan antara daerah.

Polisi insurans ditawarkan merangkumi perlindungan ketika pemandu dalam perjalanan mengambil penumpang, semasa perjalanan dan ketika melengkapkan pesanan.

Sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kerosakan kenderaan berkaitan aktiviti e-hailing, pampasan akan diberikan tanpa pemandu perlu menanggung kos sendiri.

Zlata turut berperanan sebagai pusat sokongan sehenti dengan menyelaras perkhidmatan tunda, dokumentasi tuntutan serta urusan dengan syarikat insurans bagi mengurangkan tempoh kenderaan tidak dapat digunakan.

Selain itu, skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) diperkenalkan bagi membolehkan pemandu mendapatkan perlindungan tanpa bayaran penuh secara awal.

Sebagai tambahan, pemandu yang melanggan polisi akan menerima bateri kereta percuma lengkap dengan jaminan, dengan jangka hayat antara 18 hingga 24 bulan bergantung kepada penggunaan.

Ketua Pematuhan Undang-Undang dan Perhubungan Kerajaan Maxim E-hailing Malaysia, Mushfique Ahmed Chowdhury, berkata keselamatan dan kesejahteraan pemandu kekal menjadi keutamaan syarikat.

“Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan penyelesaian insurans yang lebih fleksibel dan relevan dengan keperluan pemandu,” katanya.

Kedua-dua pihak turut merancang program jangkauan dan pendidikan bagi meningkatkan kesedaran pemandu mengenai kepentingan perlindungan insurans.