PGA Sarawak catat rampasan RM10 juta dalam Op Taring Alpha dan Chiller

Antara barangan yang dirampas. Gambar PGA Sarawak

Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mencatat kejayaan signifikan menerusi pelaksanaan Op Taring Alpha dan Op Taring Chiller pada 16 Januari 2026, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai (gambar) berkata, operasi yang dijalankan di Sibu, Betong dan Bintulu ini telah membawa kepada penahanan lapan individu warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan pengedaran barangan tanpa dokumen atau permit sah.

“Rampasan melibatkan pelbagai produk sejuk beku, rokok serta minuman keras tidak bercukai, bersama kenderaan dan peralatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (17 Jan 2026).

Di Sibu, serbuan ke atas sebuah premis oleh Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu telah berjaya menahan enam lelaki tempatan dan merampas sejumlah besar pelbagai produk sejuk beku, dengan anggaran nilai rampasan melebihi RM3.5 juta.

Manakala di Betong, pasukan Cawangan Risik Batalion 23 PGA Sri Aman telah menahan seorang lelaki tempatan dan merampas pelbagai produk sejuk beku, dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.53 juta.

Sementara itu di Bintulu, Op Taring Alpha berjaya menumpaskan aktiviti penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai, melibatkan rampasan ribuan karton rokok, ratusan karton minuman keras serta kenderaan, dengan anggaran nilai rampasan sekitar RM4 juta.

Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Briged Sarawak PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan, melindungi kepentingan pengguna serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terpelihara,” ujarnya.