Op Taring Chiller: PGA Sarawak rampas produk sejuk beku dan pelbagai peralatan bernilai RM11.1 juta

Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) terus memperkukuhkan komitmen dalam membanteras aktiviti penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa permit sah menerusi pelaksanaan Op Taring Chiller, apabila berjaya mencatatkan dua siri kejayaan besar pada 15 Januari 2026 melibatkan daerah Kuching dan Miri, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM11.1 juta.

Komander, Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Lim Bak Phai berkata dalam kejayaan pertamadi sekitar daerah Kuching, sepasukan polis daripada Cawangan Risik Batalion 11 PGA Kuching telah menjalankan serbuan ke atas dua buah premis berasingan dan menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan produk sejuk beku tanpa dokumen atau permit yang sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan lebih 116,000 kilogram produk sejuk beku, termasuk daging babi, ayam dan lembu, selain pelbagai peralatan pemprosesan makanan, kemudahan stor sejuk beku serta jentera industri. Anggaran nilai rampasan bagi operasi ini sahaja berjumlah RM9.59 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini (Jumaat – 16 Jan 2026).

Sementara itu, kejayaan kedua dicatatkan di daerah Miri apabila Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri menahan dua individu warga tempatan, masing-masing seorang lelaki berumur 60 tahun dan seorang wanita berumur 51 tahun, hasil serbuan ke atas dua buah premis berasingan.

Dalam operasi tersebut, pasukan telah merampas lebih 40,000 kilogram pelbagai jenis produk sejuk beku, dua buah stor sejuk beku serta sebuah jentera forklift, dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.55 juta.

Jelasnya, kesemua tangkapan dan rampasan daripada kedua-dua siri operasi ini telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 9(1), Veterinary Public Health Ordinance 1999.

SAC Lim menegaskan bahawa penguatkuasaan berterusan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti penyeludupan dan pengedaran produk makanan yang tidak mematuhi peraturan, khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan makanan, kesihatan awam serta kepentingan pengguna.

“Kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram juga amat dialu-alukan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.