Polis rampas dadah RM17.2 juta di Kuching, Limbang

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam sidang media.

Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM17.2 juta dalam dua operasi berasingan di Kuching dan Limbang pada 11 dan 14 September lalu.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Sarawak.

Beliau berkata, dalam operasi pertama pada 11 September, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di sebuah rumah di Kuching.

“Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas 107.518 kilogram dadah yang terdiri daripada serbuk MDMA seberat kira-kira 50.1 kilogram, ketamin (32.3 kilogram), cecair MDMA (25 kilogram) dan pil Erimin 5 (0.118 kilogram).

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12.89 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Kuching, hari ini (18 Sept).

Mohamad Zainal berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan sebuah rumah teres sebagai tempat memproses serta membungkus dadah, selain dijadikan stor penyimpanan sebelum diedarkan di sekitar Kuching.

Katanya, ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine/amphetamine, manakala semakan rekod jenayah mendapati lelaki itu mempunyai lima rekod lampau, termasuk satu berkaitan kesalahan dadah dan empat kesalahan jenayah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 12 September hingga 19 September 2026 bagi membantu siasatan,” katanya.

Bagi operasi kedua pada 14 September, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di Jalan Mendamit, Limbang.

Katanya, polis merampas 84.07 kilogram dadah terdiri daripada syabu seberat 81.21 kilogram, ketamin (2.06 kilogram) dan serbuk MDMA (0.80 kilogram), dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4.3 juta.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak November 2025 dan modus operandinya adalah menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui jalan darat.

“Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM35,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan semakan juga mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 15 hingga 22 September bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas boleh merosakkan seramai 484,848 orang yang menggunakannya.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.